Sempena sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025, Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengetengahkan pelbagai inisiatif baharu, memperkukuh kerjasama strategik dan pendekatan berasaskan komuniti yang membantu mengekalkan populasi Orang Utan liar yang stabil di wilayah ini.
SFC menerusi satu kenyataan, menyatakan usaha tersebut sebagai komitmen jangka panjang dalam melindungi Orang Utan Borneo (Pongo pygmaeus pygmaeus) serta memelihara kepelbagaian biologi negeri ini.
“Daripada sejuta hektar kawasan yang disasarkan Sarawak sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA), sebanyak 234,335 hektar diperuntukkan khusus untuk pemuliharaan Orang Utan iaitu hampir suku daripada jumlah keseluruhan sasaran,” katanya.
Menjelas lanjut, SFC berkata antara kawasan utama termasuk Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau (182,983 hektar), Taman Negara Batang Ai (26,159 hektar), Taman Negara Sedilu (6,311 hektar), Taman Negara Ulu Sebuyau (18,287 hektar) dan Taman Negara Gunung Lesong (595 hektar).
“Kawasan-kawasan ini menjadi habitat penting yang menyokong hampir 2,000 ekor Orang Utan liar, dengan 95 peratus daripadanya berada di Lanjak Entimau dan Batang Ai,” katanya.
[Read More...]