HARIMAU Malaya telah lama diraikan sebagai antara simbol kekuatan dan keberanian negara Malaysia. Ia menghiasi Jata Negara dan tanda kebesaran diraja serta menjadi ikon identiti pelbagai agensi kerajaan dan korporat di negara ini.
Namun, kewujudannya tidak lama lagi mungkin hanya pada simbol budaya dan gelaran pasukan bola sepak kebangsaan sahaja. Kelangsungan hidup spesies ini sedang terancam, dengan anggaran populasi kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia menjelang 2022.
Demikian dapatan awal 1st National Tiger Survey (tinjauan kebangsaan harimau pertama di Malaysia), yang dijalankan dari 2016 hingga 2020.
Angka ini amat berbeza dengan anggaran sebelumnya iaitu 250-340 ekor harimau, menurut tinjauan itu yang merupakan usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, WWF-Malaysia dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
Anggaran populasi harimau Malaya pada 1950-an dipercayai sekitar 3,000 ekor.
[Read More...]