SERAMAI 150 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli dilantik sebagai anggota renjer hidupan liar bagi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pasukan berkenaan bertanggungjawab membanteras kegiatan pembalakan dan pemburuan haram serta pencerobohan hutan.
Katanya, tugas utama pasukan terbabit ialah mengawal lokasi panas membabitkan kawasan Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, Taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tapak Ramsar di Semenanjung.
Menurutnya, penubuhan pasukan renjer hidupan liar adalah inisiatif Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut membabitkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Program BP3 adalah kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan 3 September tahun lalu membabitkan kerjasama Perhilitan, PDRM, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), JPSM dan NGO yang disertai Wildlife Conservation Society (WCS), Pelindung, MyCat, RIMBA dan World Wide Fund for Nature (WWF).
[Read More...]